Berita

Muhyiddin tak takut Anwar walau berdepan saman RM200 juta

Muhyiddin menyatakan Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.

KUALA LUMPUR 22 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk berdepan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak takut untuk berdepan Anwar walaupun telah disaman sebanyak RM200 juta.

“Tidak mengapa, biarlah kita pergi mahkamah kerana saya tidak bersalah,” katanya ketika berucap pada Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam Jumaat.

Menurut beliau, Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.

Ujarnya, ketika beliau mentadbir kerajaan, masalah Felda yang dialami termasuk terdapat pengurusan tidak cekap, pendapatan merosot sehingga hutang tidak boleh dibayar.

“Ia membabitkan jumlah hutang seluruh negara hampir RM12 bilion. Ketika itu, kami mengambil keputusan membantu peneroka Felda pada 2021 dengan menghapuskan hutang sebanyak RM8.3 bilion.

“Namun Perdana Menteri kata saya cakap bohong, sedangkan saya tidak pernah bohong kerana saya ada bukti,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mahu Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin. — Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button