Muka disalah guna promosi produk, Dr Noor Hisham mahu saman
Dr Noor Hisham menganggap taktik pemasaran itu sebagai tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Sering kali muka tokoh awam atau pempengaruh digunakan pada produk kesihatan bagi meningkatkan jualan dan menggalakkan orang ramai untuk membeli barang berkenaan.
Namun, bagaimana jika tindakan itu didakwa mengelirukan dan digunakan di luar konteks seperti yang dialami bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam ciapan di laman X, beliau berkata, satu jenama jeli dan teh herba traditional Cina, didakwa menggunakan nama dan imejnya dalam meningkatkan jualan mereka.
Dakwanya, tindakan itu adalah salah serta taktik pemasaran sebegitu dianggap tidak bertanggungjawab kerana bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.
“Ini adalah satu lagi pemasaran yang tidak bertanggungjawab, menggunakan nama saya dan gambar oleh syarikat berkenaan bertujuan untuk menipu orang ramai. Sungguh perbuatan yang memalukan,” katanya dalam aplikasi X, baru-baru ini.
Dalam ciapan berkenaan, Dr Noor Hisham turut berkongsi gambar yang menggunakan imejnya pada produk terbabit.
Sebelum ini, Dr Noor Hisham ketika menerajui KKM memaklumkan, ketika pandemik COVID-19, pakar dari China mencadangkan untuk membuat rawatan tambahan untuk membuat akupuntur serta ubat ubatan herba bagi mencegah jangkitan serta mempercepatkan pemulihan selepas dijangkiti virus terbabit.
Berikutan itu, pemilik produk itu menggunakan keratan akhbar berkaitan isu berkenaan dan mengaitkannya dengan jenama terbabit.
“Ia mengelirukan untuk dikaitkan dengan produk berkenaan,” katanya dalam bebenangnya.
Katanya, disebabkan itu beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terjadap jenama terbabit.
“Ia menyebabkan saya tiada pilihan selain membawa syarikat berkenaan ke mahkamah. Berapa banyak yang anda fikir saya patut menyaman mereka (untuk)?
“Semoga ini menjadi pengajaran kepada syarikat lain? Sekurang-kurangnya jika saya menang, saya boleh berkongsi kemenangan dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. — BH