Berita

‘Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya’ – Tun Daim

Tun Daim menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan negara ini yang didakwanya dibayangi pentadbiran menyalahguna kuasa

KUALA LUMPUR 29 Jan – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, menegaskan bahawa beliau tidak sabar menanti perbicaraan demi membuktikan dirinya tidak bersalah seperti dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya.

“Saya tidak akan berbicara mengenai tuduhan bermotifkan politik terhadap saya. Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Beliau sebaliknya menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan negara ini yang didakwanya dibayangi pentadbiran menyalahguna kuasa.

“Seperti ramai yang lain mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Anwar Ibrahim pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB.

“Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri demi mencapai jawatan perdana menteri.

“Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

“Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik,” katanya.

Beliau berkata, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar termasuk menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.

“Seharusnya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya. Ketika sibuk melunaskan dendam lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitan rakyat biasa berterusan.

“Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya, tetapi saya khuatir nasib negara saya,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini.

“Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Daim dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

Bagaimanapun, Daim atau nama sebenarnya, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim, Azura Alwi. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button