Berita

MYAirline minta maaf, bayar balik tiket penumpang

MYAirline turut memohon kesabaran penumpang dalam membelas kesemua e-mel.

KUALA LUMPUR 14 Okt. – MYAirline Sdn Bhd memohon maaf kepada semua penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan tersebut sejak Khamis lalu.

Eksekutif Bertanggungjawab interim MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu juga sedang mempercepatkan proses bayaran balik tambang penerbangan.

Pada masa sama, beliau turut memohon kesabaran penumpang kerana sedang mengendalikan jumlah e-mel tinggi melebihi 12,000.

“Bagi pihak MYAirline, kami ingat merakamkan kekesalan yang mendalam berikutan peristiwa baru-baru ini dan bagaimana ia memberi kesan kepada semua penumpang kami.

“MYAirline juga dalam proses mewujudkan talian hotline untuk membantu penumpang yang terjejas dengan lebih baik.

“Bagi memudahkan proses bayaran balik, penumpang digalakkan memberikan nombor tempahan mereka dan e-melkan kepada kami di [email protected],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai status semua kakitangan syarikat tersebut, Azharuddin menjelaskan, pekerja MYAirline masih dalam penggajian penuh dan tiada sesiapa yang bercuti tanpa gaji.

Menyentuh mengenai perkongsian strategik, beliau berkata beberapa pihak telah pun menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat kini sedang menilai cadangan tersebut.

“Kami akan terus menyediakan maklumat terkini kepada penumpang yang kami hargai dan juga pihak berkepentingan lain,” katanya.

Khamis lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya sehingga diberitahu kelak.

Syarikat tersebut memaklumkan, keputusan sukar itu terpaksa dilakukan kerana MyAirline berhadapan tekanan kewangan.

Pada masa sama, ia juga dilakukan sementara menunggu penstrukturan dan penjanaan semula modal saham syarikat tersebut. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button