Hiburan

Nabil, Azad dan Radin buat penampilan khas sebagai ‘penguat kuasa’ Maritim Malaysia

KEMUNCULAN tiga selebriti tempatan Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy menjadi ‘penguat kuasa’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mendapat perhatian orang ramai apabila ketiga-tiga mereka mengenakan uniform celoreng digital milik Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, penyertaan ketiga-ketiga selebriti berkenaan merupakan elemen kejutan Maritim Malaysia pada tahun ini bagi menonjolkan peranan Maritim Malaysia sebagai sebuah pasukan keselamatan barisan hadapan di Zon Maritim Malaysia.

Tambah beliau, kehadiran ketiga-ketiga selebriti berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada golongan belia dalam menyemarakkan semangat patrotisme dan cintakan negara selain pesona yang ditampilkan bakal menarik minat golongan berkenaan menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas turut hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 yang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Dataran Putrajaya di sini.

Hadir sama pada sambutan berkenaan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu seawal jam 6.30 pagi Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1 dan Bot Petir 83 telah menjadi tarikan orang ramai apabila kelibat ketiga-tiga selebriti berkenaan dilihat berada di atas aset milik Maritim Malaysia itu dengan berpakaian penguat kuasa Maritim Malaysia.

Selain menghasilkan kandungan media sosial sempena Hari Kebangsaan Ke-67, ketiga-tiga selebriti berkenaan juga mengadakan sesi meet and greet bersama peminat di samping mengedarkan cenderahati Maritim Malaysia kepada orang ramai yang hadir ke sambutan tersebut.

Kemeriahan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini turut diwarnai dengan penyertaan Mobile Surveillance Unit (MSU) yang merupakan sistem pengawasan bergerak milik Maritim Malaysia di samping sebuah aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin yang turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

Bukan itu sahaja seramai 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Maritim Malaysia turut menyertai perbarisan bersama lebih 80 kontinjen lain bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button