Naib Ketua Wanita PKR dilantik jadi ahli lembaga pengarah PKA
Sangetha Jayakumar turut mengucapkan terima kasih kepada PM dan Menteri Pengangkutan.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar sah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya juga ingin merakam penghargaan khasnya buat (Ketua Wanita PKR) Fadhlina Sidek yang memberi dorongan dan sentiasa berusaha untuk memperkukuh pemberdayaan wanita. Saya melihat pelantikan ini merupakan satu bentuk pengiktirafan atas usaha itu,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau berkata, pelantikan itu diterimanya dengan penuh rasa tanggungjawab dan merupakan peluang untuk terus mengangkat, memperkasa, memperkukuh agenda serta komitmen kerajaan Madani.
Ahad lalu, Sangetha dilaporkan berkata, pelantikannya ke lembaga pengarah PKA belum disahkan, walaupun Fadhlina mengucapkan tahniah dalam poster di media sosial.
Sangetha ialah anak Dr Xavier Jayakumar, bekas naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuala Langat, sebelum beliau meletak jawatan pada Mac 2021.
Pelantikan Sangetha mendapat kritikan di media sosial, di mana warganet membandingkannya dengan tweet beliau pada Oktober 2020 atas tindakan kerajaan Perikatan Nasional ketika itu memberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan untuk meningkatkan sokongan.
Pengerusi PKA adalah Ean Yong Hian Wah, yang juga timbalan pengerusi DAP Selangor dan bekas Adun Seri Kembangan.
Dalam poster PKA yang dikongsi Sangetha, pihak berkuasa pelabuhan itu turut mengucapkan tahniah kepada dua lagi individu, iaitu Roslee Abd Hamid dan Ismail @ Saime Zakaria.
Roslee ialah ketua Umno Bahagian Kapar yang bertanding di kerusi Selat Klang pada PRN Ogos lalu, manakala Ismail ialah bekas ahli Majlis Bandaraya Shah Alam yang dilantik Amanah. — FMT