Berita

Najib, Arul Kanda berjaya mohon rayuan ‘cacat’ pendakwaan didengar hakim

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang dan mengarahkan pindaan dalam laporan audit akhir 1MDB sebelum ia dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara

PUTRAJAYA, 1 September – Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dibebaskan dalam kes laporan audit syarikat itu berjaya memohon rayuan “cacat” pihak pendakwaan didengar hakim Mahkamah Rayuan.

Peguam Arul Kanda, N Sivananthan, berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Noor Firdaus Rosli menetapkan 12 Sept untuk sebutan kes.

“Kami memohon perkara itu ketika pengurusan kes pada Rabu memandangkan pendakwaan yang merayu pembebasan tidak memfailkan petisyen rayuan untuk mengenal pasti di mana hakim bicara terkhilaf selepas rekod rayuan diserahkan kepada mereka,” katanya.

Menurut Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, pihak pendakwaan dikehendaki memfailkan petisyen dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan daripada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi.

Katanya, tiada juga petunjuk sama ada pihak pendakwaan memohon lanjutan masa untuk memfailkan petisyen atau sama ada berhasrat tidak merayu dengan memfailkan notis pemberhentian.

Peguam mewakili Najib, Alaistair Brandah Norman, dalam prosiding dalam talian hari ini, mendakwa rekod rayuan diterima pada 26 Jun dan tempoh 10 hari sudah tamat pada 6 Julai.

“Bagi pihak kami, kami mengambil pendirian rayuan pendakwaan sudah berakhir,” katanya.

Pada 3 Mac, Mahkamah Tinggi membebaskan Najib daripada tuduhan salah guna kuasa tanpa dipanggil membela diri.

Arul Kanda, yang dituduh subahat juga dibebaskan selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dua tertuduh itu.

Mahkamah juga mengeluarkan perakuan tanggung rugi memihak Arul Kanda selepas Hakim Zaini Mazlan (ketika itu hakim Mahkamah Tinggi) berkata, beliau berpuas hati bahawa bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB berkata benar dan memberi pendedahan penuh ketika memberi keterangan dalam kes berkenaan.

Perakuan itu mengesahkan tiada prosiding sivil atau jenayah boleh dikenakan terhadap Arul Kanda berkaitan laporan audit 1MDB.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang dan mengarahkan pindaan dalam laporan audit akhir 1MDB sebelum ia dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 9 Mac.

Jelas keputusan terhadap kes Tengku Adnan, peguam negara diberitahu

Dalam perkara berasingan, pemimpin masyarakat sivil dan Majlis Peguam menuntut Peguam Negara Idrus Harun memberi penjelasan ke atas keputusan menarik rayuan terhadap pembebasan bekas Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dalam kes rasuah RM2 juta.

Pada November 2021, presiden Badan Peguam ketika itu, AG Kalidas berkata, rayuan perlu diteruskan kerana keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai 2021, bukan sebulat suara.

Ketika itu, Kalidas berkata, alasan menarik rayuan dalam kes berprofil tinggi seperti itu perlu didedahkan sebagai memaparkan kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Pada 18 Nov 2021, FMT melaporkan rayuan pendakwaan dalam kes tersebut mungkin sudah luput kerana petisyen rayuan tidak difailkan tepat pada masa.

Rayuan tersebut tidak pernah didengar Mahkamah Persekutuan dan tiada kenyataan awam dikeluarkan Idrus bagi menjelaskan kedudukan pihak pendakwaan. – FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button