Berita

Najib boleh mohon dibebaskan September depan

Hakim, K Muniandy berkata demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa, status representasi yang difailkan Najib, 71, belum diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC)

KUALA LUMPUR 19 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebaskan sepenuhnya (DNA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta, pada September depan.

Hakim, K Muniandy berkata demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa, status representasi yang difailkan Najib, 71, belum diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, status representasi bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menggugurkan kes AMLA ini, masih belum tersedia.

Katanya, dengan mengambil kira situasi terkini, pihak pendakwaan tidak dapat memberi keputusan berhubung isu terbabit.

Hakim: Jadi, bolehkah ia (representasi) dianggap telah ditolak?

Mohd Ashrof: Rasanya tidak boleh Yang Arif, saya dengan rendah diri memohon diberi lebih banyak masa untuk keputusan representasi berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah yang mewakili Najib, membantah perkara itu dan memohon bekas Presiden UMNO ini dibebaskan sepenuhnya.

Menurutnya, Najib perlu diberi DNA atau DNAA memandangkan kes ini telah berlanjutan sejak sekian lama, ini akan memprejudiskannya.

Beliau berkata, sebanyak 26 prosiding dibuat di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) manakala empat di hadapan Muniandy.

“Pihak pendakwaan nampaknya berdepan kesukaran dalam membuat keputusan terhadap representasi itu, maka ini menunjukkan pertuduhan atas anak guam boleh dianggap sebagai tiada asas.

“Justeru itu, perintah DNA perlu dikeluarkan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muniandy menetapkan perbicaraan kes pada 17, 18,19, 23 dan 24 September depan.

“Jika pada tarikh berkenaan didapati pihak pendakwaan masih belum bersedia (status representasi), maka pihak pembelaan boleh mohon DNAA atau DNA.

“Disebabkan prosiding ini ditetapkan untuk pengurusan kes dan mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai keputusan berhubung status itu, maka saya tetapkan 12 Mac untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 49 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Bekas pemimpin UMNO itu telah menghantar representasi kepada AG untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang dihadapinya. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button