Berita

Najib, delegasi Malaysia didakwa guna dana 1MDB ‘mengkayakan’ Trump

Pentadbiran Najib dilaporkan membayar AS$248,962 (RM1.156 juta) untuk penginapan di Trump International Hotel antara tahun 2017 dan 2020

KUALA LUMPUR 5 Jan – Pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disyaki antara 20 kerajaan yang didakwa “menyumbang” sekurang-kurangnya AS$7.8 juta (RM36.27 juta) kepada perniagaan yang dimiliki oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Dalam laporan dikeluarkan parti Demokrat di Jawatankuasa Pemantauan Dewan Rakyat, pentadbiran Najib dilaporkan membayar AS$248,962 (RM1.156 juta) untuk penginapan di Trump International Hotel antara tahun 2017 dan 2020.

Laporan 156 muka surat itu, yang merupakan sebahagian daripada siasatan mereka ke atas penyalahgunaan jawatan presiden Trump dengan mendapat keuntungan daripada sewa dan penginapan di hartanahnya, mencatatkan bahawa Trump menerima kunjungan rasmi Najib pada September 2017 semasa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sedang giat menyiasat Najib berkenaan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Laporan itu menyatakan AS$247,352 (RM1.15 juta) dibayar semasa penginapan Najib dan pegawai-pegawai beliau dari 7 hingga 15 September 2017.

Sejumlah AS$1,610 (RM7,486.50) dibayar untuk penginapan wakil kedutaan Malaysia pada 27 September 2017.

Laporan itu menyatakan Najib menginap di suite presiden hotel tersebut, yang ditetapkan pada kadar AS10,000 setiap malam, membawa kos jumlah untuk tiga malam dan empat hari penginapannya kepada AS$44,562 (RM206,996).

Beliau juga dikenakan bayaran AS$750 (RM3,487.50) untuk “Bilik Persalinan”, AS$1,500 (RM6,975) untuk “Jurulatih Peribadi”, dan ribuan dolar untuk mendapatkan seorang pembantu menyajikan hidangan.

“Perbelanjaan mewah delegasi Malaysia pada pertengahan September 2017 di Trump International Hotel menyebabkan lonjakan 70 peratus dalam pendapatan purata bilik hotel setiap malam – meningkat kepada AS$97,193 (RM451,159.45) untuk malam-malam 7 hingga 14 September berbanding AS$56,635 (RM263,327.75) untuk malam-malam lain pada September 2017.

“Pada bulan yang sama, pada 27 September 2017, “Delegasi Kedutaan Malaysia” akan kembali ke hotel tersebut dan menyewa empat bilik tambahan dengan kos AS$1,610 (RM7,486.50).

“Menambah pendapatan hotel semasa penginapan delegasi Malaysia pada pertengahan September adalah AS$9,272 (RM43,030.80) yang dibelanjakan oleh U S Secret Service untuk bilik yang ditempah bagi menjaga delegasi tersebut,” kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan Najib bertemu Trump pada 12 September 2017, semasa DOJ sudah hampir lebih setahun mula menyiasatnya atas keterlibatan dalam skandal 1MDB.

“Pusat Strategik dan Hubungan Antarabangsa menyatakan bahawa tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang melawat White House sejak 2004 dan tindakan Najib itu bertujuan mengukuhkan namanya menjelang pilihan raya Ogos 2018 sebagai antara pemimpin penting Asia Tenggara,” kata laporan itu.

Najib telah menggunakan pertemuan dengan Trump untuk melukis imej positif pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat.

Najib juga berlagak bahawa sebuah dana pencen dan dana kekayaan berdaulat Malaysia – walaupun dituduh ‘merompak kekayaan negara’ – sedang melabur berbilion dolar dalam ekonomi Amerika Syarikat.

Kemudian Presiden Trump, pula berkata bahawa adalah beliau berasa berbesar hati menerima Najib dan “delegasi yang sangat berprestij” dan “Malaysia adalah pelabur besar di Amerika Syarikat dalam bentuk saham dan bon.

Pakar dan kumpulan hak asasi manusia melihat lawatan itu sebagai gerak kerja perhubungan awam untuk Najib dan usaha beliau untuk menyatakan kepada rakyat Malaysia ketika itu bahawa 1MDB bukanlah isu dan mesej pembangkang bahawa beliau tidak diingini oleh pemimpin dunia tidak benar. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button