Berita

Najib didakwa tidak beri kerjasama selepas ditahan

Najib hanya akan memberi keterangan di mahkamah sahaja.

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pegawai penyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi kerjasama ketika disoal siasat berhubung penyelewengan dana syarikat strategik negara, pada 3 Oktober 2018.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dan AMLA dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu, di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Saksi ke-48 pendakwaan itu berkata, Najib beritahu, “Saya akan jawab di mahkamah” ketika disoal mengenai lima transaksi berjumlah RM2.27 bilion, yang ditunaikan kepada beberapa pihak, pada 2013.

Transaksi itu membabitkan lima cek, iaitu RM20 juta ke akaun UMNO, UMNO Batu Kawan (RM100,000), ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000), Syarikat Orb Solutions Sdn Bhd (RM2 juta) dan firma Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).

Ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan, Wei Min ini bersetuju bahawa, siasat terhadap bekas bekas Presiden UMNO itu berlaku selepas pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini dibuat, pada 20 September tahun sama.

“Beliau (Najib) berulang kali menyatakan akan menjawab di mahkamah, kerana telah didakwa berhubung RM2.08 bilion dana 1MDB, yang mana ia dipindahkan ke akaun lain termasuk bank peribadi miliknya,” kata Wei Min selepas diasak Muhammad Shafee.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button