PETALING JAYA: Perintah Mahkamah Tinggi untuk Najib Razak membela diri terhadap 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB memberikan bekas perdana menteri itu peluang untuk mempertahankan dirinya, kata UMNO.
Dalam satu kenyataan, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan mahkamah hari ini sama sekali tidak menunjukkan Najib bersalah.
Beliau berkata mereka akan terus menyokong Najib dan memastikan keadilan ditegakkan.
“Kami juga berdoa agar dalang sebenar di sebalik skandal 1MDB akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu hari ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib ketika mengarahkannya untuk membela diri.
Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International.