Najib respon kenyataan Sirul
Najib meminta Kerajaan Malaysia untuk mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa Australia

KUALA LUMPUR 26 Nov – Datuk Seri Najib Razak menafikan semua dakwaan dibuat oleh bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dalam wawancara yang ke udara semalam menerusi program 101 East siaran Al Jazeera, berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Firma guaman, Tetuan Shafee & Co dalam satu kenyataan hari ini bagi pihak bekas Perdana Menteri itu sebagai respons terhadap dakwaan berkenaan, berkata Najib meminta Kerajaan Malaysia untuk mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa Australia dengan matlamat bagi memudah cara ekstradisi Sirul Azhar ke negara ini, sekali gus memastikan siasatan komprehensif dijalankan berhubung dakwaannya.
“Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan Kerajaan Malaysia berkemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.
“Dalam pada anak guam kami (Najib) mempertahankan kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang pembabitan dalam kematian tragik Altantuya Shaariibuu melalui jenayah amat kejam itu.
“Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang pembabitan dalam kes ini, dan ia disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), serta disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut menekankan bahawa kedua-dua Sirul Azhar dan Azilah Hadri tidak pernah menjadi pengawal peribadi khusus untuk Najib, sebaliknya mereka adalah daripada satu kumpulan pengawal peribadi yang ditugaskan secara bergilir antara pemimpin teratas dalam Kabinet ketika itu.
Semalam, Sirul Azhar yang disabitkan membunuh Altantuya, dilaporkan merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil mendakwa berbahaya untuk dia kembali ke Malaysia.
Dalam wawancara eksklusif dengan Al Jazeera English 101 East, Sirul Azhar turut memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya dan meminta diampunkan.
FMT melaporkan, dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney itu, Sirul Azhar mendakwa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan Altantuya walaupun disabitkan bersalah oleh mahkamah di Malaysia.
Dia mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik, yang mana dia mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk tujuan ‘menutup mulut.’ – BERNAMA