Najis tikus dalam stor restoran makanan Arab terkenal di P Pinang
Restoran itu riarah tutup selama 16 hari bagi tujuan prmbersihan

GEORGETOWN 17 Jan – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan notis penutupan restoran makanan Timur Tengah di Lebuh Chulia, selepas mendapati najis tikus di dalam stor bahan makanan, hari ini.
Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, M Bawani, berkata penutupan selama 14 hari sehingga 30 Januari itu bagi kerja pembersihan.
Katanya, penguat kuasa juga mendapati berlaku pencemaran silang, iaitu bahan makanan dialas dengan kertas bercetak, selain makanan mentah dan sudah dimasak disimpan bersama.
“Pengurusan premis mendakwa membersihkan perangkap minyak setiap hari, namun ketika pemeriksaan mendapati keadaannya amat teruk.
“Tahap kebersihan dapur iaitu di tempat memasak amat tidak memuaskan, selain telur dan makanan lain makanan diletak bersama cat serta bahan pencuci,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bawani berkata, pihak pengurusan premis juga gagal menunjukkan Kad Suntikan Vaksin Anti-Tifoid.
“Kita sudah menerangkan prosedur kebersihan dan pemeriksaan ini bagi memastikan premis di Pulau Pinang berada dalam keadaan baik serta selamat,” katanya.
Bawani berkata, premis berkenaan antara tiga yang menerima notis penutupan selama 14 hari dan dua lagi ialah premis nasi kandar dan restoran masakan India di Pulau Tikus yang juga ada najis tikus di dapur.
Beliau berkata, dua premis terbabit sudah menerima beberapa kompaun sebelum ini, namun didapati tidak ada perubahan diambil pemilik. – Berita Harian