Hiburan

Neelofa, PU Riz buka Nunha Store pertama

PASANGAN selebriti, Neelofa dan Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz membuka kedai pertama Nunha Store di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur.

Neelofa berkata, pembukaan kedai yang menjual pelbagai produk di bawah jenama Nunha itu sebagai hadiah buat peminat dan orang ramai yang sentiasa menyokong produk itu.

“Alhamdulillah, perniagaan yang kami usahakan mendapat respons yang sangat positif pelbagai pihak, terutamanya peminat yang tak henti menyokong.

“Jadi, pembukaan Nunha Store di MyTown ini menjadi hadiah istimewa untuk peminat yang mahu mendapatkan produk kami secara fizikal, selain kaedah pembelian dalam talian,” katanya.

Sementara itu, PU Riz berkongsi mereka dalam perancangan untuk membuka cawangan lain di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.

“Insya-Allah, Nunha Store yang kedua akan dibuka di lapangan terbang di Kelantan, kami sedang usahakan, jadi doa-doakanlah sebab orang Kelantan sukakan produk kami.

“Lagipun kedai Naelofar tiada lagi di Kelantan, jadi kami cuba bertapak di sana. Alhamdulillah, saya juga bersyukur produk kami disambut baik terutamanya seperti baju dan The Kaabah,” katanya.

Menurutnya, The Kaabah yang juga produk audio mengandungi zikir dan doa sedang menanti kelulusan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Apa yang istimewanya The Kaabah ini adalah saya dan Neelofa sendiri yang rekod suara dan masukkan ke dalam produk terbabit. Ia pun sudah disemak oleh pihak JAKIM dan kami sedang tunggu kelulusan.

“Neelofa baca maksud dan terjemahan Al-Quran dan 33 zikir pagi pula dibacakan oleh saya. Ia mudah dibawa ke mana-mana seperti ke dapur, kereta dan sebagainya,” katanya

Artikel Berkaitan

Back to top button