Negeri pembangkang ada banyak potensi pembangunan – Tun M
Tun M mengingatkan kerajaan negeri cuma perlu tahu bagaimana nak majukan sesuatu idea.

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Kerajaan Negeri cuma perlu tahu bagaimana hendak melaksanakan sesuatu idea untuk memajukannya.
“Ini termasuk sokongan jentera pentadbiran, amalan kerja “good administration”, elak rasuah dalam urusan kerajaan, elak ganggu pelabur apabila mereka sudah yakin melabur di negeri.
“Ini semua akan bantu makmurkan negeri keseluruhannya,”katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Dr. Mahathir berkata, misalnya, negeri Kedah yang mempunyai banyak potensi sama seperti negeri lain.
“Segala aset dan sumber negeri jika dilabur berpotensi beri pulangan.
“Saya ditanya apa boleh dibuat untuk tingkat pelancongan negeri. Sebenarnya selain Langkawi, baru-baru ini setelah 40 tahun lebih saya naik ke Gunung Jerai.
“Saya dapati inipun salah satu tarikan yang terdapat di negeri Kedah. Pemandangannya cukup cantik dan udaranya nyaman.
“Berbeza di Cameron dan Genting Highland, di puncak Gunung Jerai ini boleh nampak sesaujana mata memandang.
“Dari sebelah kanan boleh nampak sawah padi, sebelah kiri boleh lihat lautan. Malahan di situ ada pokok-pokok dan hijauan yang mendamaikan, selain nilai sejarah di situ.
“Berikutan itu, saya cadang adakan acara kayuh basikal peringkat antarabangsa dari kaki bukit ke puncak gunung.
“Dengan itu saja kita boleh perkenal Gunung Jerai sebagai salah satu produk pelancongan negeri. Ramai akan berkayuh sambil nikmati kehijauan gunung ini,”katanya. — Xklusif