Berita

Negeri Sembilan turut banjir, mangsa di Kelantan meningkat

Terengganu juga berdepan banjir buat kali kedua.

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Negeri Sembilan menjadi negeri terbaru dilanda banjir, manakala keadaan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu terus meningkat pagi ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan memaklumkan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng susulan banjir kilat yang berlaku 1.30 pagi tadi.

“Seramai 68 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18 dan Kampung Sungai Jai ditempatkan di PPS tersebut. Trend air sungai mulai menunjukkan penurunan namun keadaan arus masih deras,” menurut kenyataan itu.

Di KELANTAN pula, jumlah mangsa meningkat kepada 856 orang daripada 235 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 778 mangsa daripada 215 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan, jajahan Jeli dan Tanah Merah menjadi kawasan terbaru dilanda banjir selepas Pasir Mas.Di Jeli, sebanyak tiga PPS dibuka melibatkan SK Jeli 1, SK Legeh dan SK Kuala Balah manakala mangsa di Pasir Mas pula berlindung di SK Gual To’Deh dan SK Gual Periok sementara penduduk terkesan di Tanah Merah menghuni SK Legeh.

Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga di TERENGGANU turut dilaporkan meningkat kepada 340 orang daripada 91 keluarga setakat 10 pagi ini, berbanding 102 orang daripada 25 keluarga yang dicatatkan pada 8 pagi tadi.

Menurut sekretariat JPBN Terengganu sebanyak enam PPS dibuka di tiga daerah terlibat iaitu Dungun, Setiu dan Marang.

Di Dungun, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Pusat, Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Balairaya Bembam dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja.

Di Marang pula, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai sementara di Setiu, 25 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Balairaya Kampung Seladang.

Sementara itu, laman publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan empat sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 21.72 meter (m), Sungai Setiu di Kampung Besut (17.69m), Sungai Telemong di Kuala Ping (20.1m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.71m). — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button