Netanyahu bimbang ICC keluar waran tangkap berkait perang Gaza
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjangkakan pengeluaran waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atasnya dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menjelang 24 Julai ini, menurut media Israel pada Rabu.
Pada 20 Mei, pendakwa raya ICC, Karim Khan memohon waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant bagi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan mereka di Semenanjung Gaza.
“Netanyahu mengadakan perbincangan penting pada petang Selasa mengenai kemungkinan besar bahawa ICC mungkin membenarkan permintaan ketua pendakwa rayanya, Karim Khan, dan tidak lama lagi mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan Gallant,” kata akhbar Yedioth Ahronoth.
Mesyuarat itu dihadiri Menteri Kehakiman, Yariv Levin, Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer dan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara.
“Netanyahu yang turut bimbang dengan keadaan itu menjangkakan mahkamah akan bertindak atas permintaan pendakwa raya dan mengeluarkan waran tidak lama lagi, berpotensi sebelum ucapannya yang akan datang di hadapan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 24 Julai,” kata akhbar itu.
Walaupun AS bukan ahli ICC, waran tangkap antarabangsa ke atas Netanyahu itu boleh mendedahkannya kepada kritikan.
Israel juga bukan ahli ICC, manakala Palestin diterima sebagai ahli pada 2015.
ICC, yang ditubuhkan pada 2002 adalah badan antarabangsa bebas yang tidak bergabung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana institusi antarabangsa lain dan keputusannya adalah mengikat.
“Secara sejarah, proses ini mengambil masa antara satu hingga lapan bulan, Januari adalah garis masa terkini yang mungkin dalam kes ini,” kata akhbar itu.
Ia menegaskan, memandangkan Khan mengemukakan permintaan itu secara terbuka, kemungkinan keputusan mahkamah juga akan didedahkan kepada umum.
Menurut akhbar itu lagi, kira-kira 123 negara menandatangani Statut Rom, yang mentakrifkan kuasa ICC.
Negara-negara terbabit bertanggungjawab untuk menguatkuasakan waran dan menangkap individu yang dinamakan dalam waran.
Israel, yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak 7 Oktober oleh kumpulan pejuang Hamas.
Lebih 37,700 rakyat Palestin terbunuh sejak itu di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 86,300 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang keputusan terbarunya mengarahkan Tel Aviv menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei.