Netflix enggan ulas permintaan turunkan dokumentari Man On The Run
Netflik berkata mereka tidak mempunyai sebarang komen berkaitan perkara itu.
KUALA LUMPUR 8 Jan. – Netflix tidak mahu mengulas permintaan pasukan pembelaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengeluarkan dokumentari ‘Man on the Run’ daripada platform penstriman global berkenaan.
Jurucakap Netflix ketika dihubungi New Straits Times berkata pihaknya tiada sebarang komen mengenai perkara itu.
“Netflix tiada sebarang komen mengenai ini,” kata jurucakap ringkas.
Pagi ini, pasukan pembelaan Najib meminta pendakwaan untuk meminta Netflix menarik balik dokumentari ‘Man on the Run’ yang menghuraikan kronologi skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Man on the Run ialah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1MDB yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.
Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, mendakwa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan, dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera
Muhammad Shafee berkata, apa yang lebih serius lagi adalah, Tommy turut membuat kesimpulan sendiri berhubung kes itu di luar mahkamah, dalam dokumentari berkenaan.
Peguam itu turut melahirkan rasa terkejut kerana pegawai penyiasat sendiri tidak tahu mengenai dokumentari terbabit. — Berita Harian