NIMP 2030: 4 misi pacu tranformasi industri
Anwar berkata terdapat empat misi di bawah NIMP 2030.
KUALA LUMPUR 1 Sept – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan hari ini menetapkan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, misi pertama, untuk memajukan ekonomi, yang mana industri akan digalakkan berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih, sekali gus mampu meningkatkan daya saing negara dalam pasaran global.
Beliau berkata, misi kedua untuk membina sebuah negara berdaya maju dalam teknologi, bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.
“Misi ketiga untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Misi ini menekankan komitmen kami untuk menangani perubahan iklim dengan berusaha untuk masa depan sifar bersih.
“Melalui amalan mampan dan inisiatif hijau, kami menyasarkan mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam. Misi ini sejajar inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) saya lancarkan baru-baru ini,” katanya ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang juga penggerak NIMP. Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mengulas lanjut Anwar berkata, misi keempat NIMP adalah untuk menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi.
“Misi ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri,” katanya. — Berita Harian