Berita

Nisha hilang selepas ibu hantar ke sekolah di Kluang

Menurut laporan ibu, Nisha dipercayai tidak masuk ke dalam sekolahnya selepas dihantar pukul 6.30 pagi

KLUANG 23 Jan –  Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, remaja perempuan berusia 17 tahun itu, J. Nisha disedari kehilangannya ketika ibunya, A. Erisha Mah, 42, mahu menjemputnya pulang selepas sesi persekolahan tamat kira-kira pukul 2.30 petang.

Katanya, menurut laporan ibu, remaja perempuan berkenaan dipercayai tidak masuk ke dalam sekolahnya selepas dihantar pukul 6.30 pagi.

“Ibu remaja perempuan berkenaan percaya anaknya keluar semula dari kawasan sekolah setelah dia beredar kerana ketika menjemputnya pada 2.30 petang semalam, remaja berkenaan tiada dalam kawasan sekolah.

“Ibunya juga membuat semakan kepada guru kelas namun dimaklumkan remaja itu tidak masuk ke kelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata, siasatan mendapati tiada sebarang masalah dan perselisihan faham dalam keluarga yang berlaku sebelum mangsa hilang.

“Mangsa tidak pernah keluar rumah dan tidak pernah mendatangkan masalah dalam keluarga,” katanya.

Ujarnya, semasa kejadian, mangsa memakai baju kurung putih, kain biru muda, kasut sekolah dan beg sekolah warna hitam.

“Keluarga tidak pasti mangsa pergi mana dan dengan siapa. Tiada saksi yang melihat kejadian mangsa keluar dari sekolah. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang (KEP OH),” katanya. – Xklusif 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button