Berita

Nombor plat GOLD, Loke sasar kutipan lebih RM35 juta

Siri nombor plat FF sebelum ini mendapat kutipan sebanyak RM35 juta.

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kementerian Pengangkutan menyasarkan kutipan hasil lebih daripada RM35 juta melalui tawaran bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan prefix (kata hadapan) siri GOLD yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya berharap siri NPI itu mampu memecahkan rekod kutipan NPI sebelum ini, iaitu siri FF.

Kata Loke, 50 peratus daripada hasil kutipan tersebut akan digunakan untuk pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian terbabit.

“Kami mengharapkan siri GOLD ini akan menjana banyak hasil. Dari segi rekod (hasil) yang paling tinggi ialah siri FF apabila kementerian dapat RM35 juta,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah ahli parlimen Seremban itu 50 peratus kutipan berkenaan akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif rakyat.

Kata Loke, penawaran NPI siri GOLD ini merupakan usaha kementerian untuk melaksanakan inisiatif seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySiswa.

Menurutnya, antaa inisiatif lain yang akan dijalankan termasuklah pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi kira-kira 40,000 pemandu teksi di seluruh negara tahun ini.

Katanya inisiatif itu merupakan usaha kerajaan membantu golongan terbabit yang majoritinya tidak mempunyai caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Ramai pemandu teksi dalam kalangan warga emas, jadi kerajaan harapkan inisiatif ini memberikan jaringan keselamatan perlindungan sosial dan kebanyakan tiada caruman Perkeso dan KWSP,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan melancarkan nombor plat siri GOLD sempena sambutan jubli emas Wilayah Persekutuan yang berusia 50 tahun 1 Feb ini.

Jualan siri GOLD akan mula dibuka secara dalam talian melalui sistem JPJeBID mulai 1 Feb hingga 5 Feb ini. —— MalaysiaKini

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button