Nurul Ain masih trauma situasi di Gaza
Nurul Ain sebelum ini terkandas di Gaza selama 42 hari bersama suaminya.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Bapa kepada Nurul Ain Haron, 37 wanita yang terkandas di Khan Yunis, Gaza selama 42 hari berkata anaknya kini masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
Haron Hamim, 65, memberitahu BH beliau bimbang dengan keadaan anaknya dan berharap ada bantuan kaunseling yang dapat membantu.
“Saya sedih melihat keadaan anak saya, orang tak berhenti mengunjungi. Saya faham semua orang sama-sama gembira Nurul Ain sudah selamat pulang tetapi beliau masih trauma,” katanya.
Menurut Haron, anaknya memilih untuk tidur di ruang tamu dan mudah terkejut jika dikejutkan dari tidur.
“Saya kejutkan dia pagi tadi untuk solat subuh, walaupun dengan sentuhan lembut, Nurul Ain terkejut dan hampir menjerit ketakutan,” katanya kepada BH melalui panggilan telefon pagi ini.
Tambah beliau, ketika ditanya mengapa tidur di ruang tamu dan tidak di bilik, Nurul Ain memberitahu mudah untuk melarikan diri jika berlaku apa-apa.
“Sedih saya dengar anak saya jawab begitu, walaupun luaran dia nampak kuat, sebagai ayah saya tahu dia ketakutan, dia masih trauma,” katanya.
Nurul Ain dan suaminya warga Palestin, Muhammad Adnan Shaat, 33, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, 14 November lalu setelah terkandas lebih 42 hari sejak 1 Oktober lalu di Khan Yunis, Gaza.
Nurul dan suaminya ke Gaza untuk menziarahi keluarga kerana suaminya sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarga dan Nurul sendiri belum pernah bertemu keluarga mentuanya sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu. — BH