Nurul Ain selamat dibawa keluar dari Gaza
Perkara itu diumumkan Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Warga Malaysia, Nurul Ain Haron, yang terkandas di Khan Yunis, Gazaterkandas di Khan Yunis, Gaza sejak 7 Oktober lalu, selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak itu, hari ini.
Perkara itu diumumkan Wisma Putra, menerusi kenyataan menyatakan wanita berusia 37 tahun terbabit selamat dibawa keluar bersama suaminya, Mohamed A M Shaat.
Mereka dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 2.33 pagi tadi.
“Ketibaan beliau dan suami di Lintasan Sempadan Rafah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan yang lain.
“Sejurus Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” katanya.
Wisma Putra berkata, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, ketika lawatan kerjanya ke negara berkenaan pada 23 Oktober lalu.
Katanya, kejayaan itu juga hasil penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.
“Kementerian Luar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Arab Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur.
“Penghargaan itu di atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain ke Gaza mengikut suaminya pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.
Kira-kira seminggu selepas berada di sana, wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berdepan situasi mencemaskan apabila Gaza mula diserang rejim Zionis sejak 7 Oktober.
Lebih menyedihkan, Nurul Ain menyambut ulang tahun kelahirannya dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu. — Xklusif