Nyawa 120 bayi NICU dalam bahaya, Israel potong bahan api Gaza – PBB
Lebih 1,750 kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel yang dilancarkan terhadap Semenanjung Gaza

BAITULMAQDIS 23 Okt – Nyawa sekurang-kurangnya 120 bayi yang baru lahir di dalam inkubator di hospital Gaza yang dilanda perang berada dalam keadaan berisiko apabila kehabisan bahan api di kawasan yang dikepung, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) yang memberi amaran hari ini.
Lebih 1,750 kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel yang dilancarkan terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin.
Hospital menghadapi kekurangan ubat-ubatan, bahan api dan air bukan sahaja untuk ribuan individu yang cedera dalam lebih dua minggu perang antara pejuang Gaza dan Israel tetapi juga untuk pesakit rutin.
Jurucakap UNICEF, Jonathan Crickx, berkata pada masa ini pihaknya mempunyai 120 neonat yang berada dalam inkubator, iaitu 70 neonat dengan pengudaraan mekanikal, dan ia memberikan kebimbangan.
Punca kuasa adalah salah satu kebimbangan utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza yang merawat bayi pramatang untuk membantu pernafasan dan memberikan sokongan kritikal, contohnya apabila organ mereka tidak cukup berkembang.
Israel mengarahkan sekatan sepenuhnya ke atas wilayah itu selepas serangan yang dilakukan.
Di tengah pemotongan elektrik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa hospital telah kehabisan bahan api untuk dijana.
WHO berkata, bahawa kira-kira 1,000 orang yang memerlukan dialisis juga akan berisiko jika penjana berhenti.
Sebanyak 20 trak bantuan menyeberang dari Mesir ke Gaza semalam tetapi tiada bantuan untuk bahan api.
Israel bimbang bahan api boleh membantu Hamas, walaupun bekalan terhad di Gaza dialihkan untuk memastikan penjana peralatan perubatan berfungsi.
“Jika mereka (bayi) dimasukkan ke dalam inkubator pengudaraan mekanikal, mengikut definisi, jika anda memotong elektrik, kami bimbang mengenai kehidupan mereka,” kata jurucakap UNICEF kepada AFP.
Kementerian kesihatan Gaza berkata terdapat 130 bayi pramatang berada dalam bahaya untuk meninggal dunia kerana kekurangan bahan api.
Kira-kira 160 wanita bersalin setiap hari di Gaza, menurut Dana Penduduk PBB, yang menganggarkan terdapat 50,000 wanita hamil di seluruh wilayah 2.4 juta orang.
Walaupun Israel mengatakan serangannya ditujukan kepada Hamas kerana melakukan serangan terburuk terhadap Israel sejak penubuhannya pada 1948, kanak-kanak membentuk sebahagian besar daripada 4,385 kematian.
Doktor di hospital Najjar di Rafah memaklumkan bagaimana mereka telah sia-sia menyelamatkan bayi yang belum lahir daripada seorang wanita yang terbunuh dalam serangan udara di rumah keluarganya.
Beberapa jam sebelum itu, lapan kanak-kanak terbunuh ketika mereka tidur di sebuah rumah di Khan Younis di selatan Gaza. – AFP