Politik

‘Once’ katak, selamanya katak – Ketua Pemuda UMNO

Dr Muhammad Akmal mengakui tidak terkejut melihatkan tindakan MP Bukit Gantang menyokong PM.

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh melihat tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perkara yang tidak mengejutkan.

Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, hal itu memandangkan Syed Abu Hussin Hafiz seorang yang dikenali sebagai tidak berpendirian.

Tindakan Syed Abu Hussin Hafiz itu juga menurut Muhammad Akmal secara tidak langsung seperti memperlihatkan kelompongan dan kelemahan dalam Akta Lompat Parti.

“Langsung tidak terkejut dengan berita ni. Once (sekali) katak, selamanya katak. Kalau macam ini, buat penat saja ada Akta Anti Lompat Parti.

“Lebih baik buat kolam dalam Parlimen untuk katak-katak ini berendam. Dulu teruk Barisan Nasional (BN) dihentam, hari ini pandai lah menilai sendiri,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Terdahulu, Syed Abu Hussin Hafiz secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika bertanyakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pagi semalam.

“Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong yang amat berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan ke atas kerajaan Madani.

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani menangani kenaikan harga dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusof,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button