Orang kampung dah kurang berhijrah ke bandar
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kadar kemiskinan di luar bandar juga menurun daripada 12.4 peratus pada 2019 kepada 12 peratus tahun lalu

KUALA LUMPUR 9 Nov – Pendekatan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar terbukti berhasil apabila penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar telah menurun daripada tiga peratus pada 2020 kepada 2.4 peratus tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kadar kemiskinan di luar bandar juga menurun daripada 12.4 peratus pada 2019 kepada 12 peratus tahun lalu.
“Ini memperlihatkan perkembangan yang baik. Ia menurun sejak infrastruktur dan kemudahan dibawa ke luar bandar.
“Ini adalah perubahan, yang bagi saya pendekatannya adalah penduduk kawasan luar bandar juga harus diberikan keadilan dan bukan hanya mereka di bandar saja diberikan pembangunan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu kementerian itu hanya kekal dengan program pembangunan luar bandar yang lama, sebaliknya ditambah baik dengan beberapa pendekatan yang terbukti berkesan, termasuk dalam bidang pendidikan.
Seterusnya, beliau juga percaya jumlah pelajar Orang Asli memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun depan akan melebihi sasaran 400 orang yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Kita memberi keutamaan kepada pendidikan Orang Asli. Tahun lalu, sasaran pelajar Orang Asli masuk ke IPT awam serta swasta adalah 300 orang dan pencapaiannya ialah 350 orang.
“Tahun depan, saya yakin walaupun sasaran adalah 400 orang, mereka akan mencapai lebih daripada sasaran… mungkin 500 orang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan sedang melihat cadangan penubuhan Suruhanjaya Orang Asal bagi memperkasakan golongan itu, bersekali dengan pindaan Akta Orang Asli 1954. – Xklusif