Orang Melayu tak salah, konsep Madani perlu masa – Anwar
Orang Melayu perlu didedahkan lagi dengan konsep Madani secara menyeluruh

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meletakkan kesalahan diatas orang Melayu susulan prestasi buruk Pakatan Harapan-BN dalam enam pilihan raya negeri, Sabtu lalu.
Sebaliknya, keputusan PRN harus dijadikan sebagai cabaran oleh PH dan BN untuk bekerja lebih keras supaya rakyat memahami konsep Madani.
“Ia mengambil masa, saya tak setuju sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, menyalahkan (kononnya) kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama, menakut-nakutkan Cina dan DAP.
“Saya tak setuju, ini satu cabaran dan kita cuba menyantuni dan jelaskan pada mereka,” katanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini, hari ini.
Ditanya mengenai keterbukaan beberapa menteri besar dari negeri pembangkang untuk bekerjasama dengan Putrajaya, Anwar akan menilai sikap pemimpin negeri terbabit sebelum kerjasama dijalankan.
Katanya, secara asasnya pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan negeri pembangkang jika ia dibuat mengikut garis panduan dan tatakelola betul.
“Terserah kepada sikap mereka, kalau mahu kerjasama saya akan ikut kaedahnya bukan dari segi kenyataan dan juga tindakanya.
“Saya nak pastikan semangat tatakelola betul, mahu wang untuk orang miskin bagi kepada orang miskin jangan agihkan kepada lain. Saya akan tegaskan bab ini,” katanya. – Xklusif