Oxford Dictionary terima nasi lemak, alamak dan 10 lagi perkataan Malaysia

Sebanyak dua belas “perkataan yang sukar diterjemahkan” dari Malaysia dan Singapura telah dimasukkan dalam kemas kini terbaru Oxford English Dictionary (OED).
Menurut laman web rasmi OED, perkataan-perkataan ini tidak mempunyai terjemahan langsung tetapi sering digunakan oleh penutur bahasa Inggeris untuk merapatkan jurang linguistik.
“Kadang-kadang, ia digunakan dengan cukup kerap sehingga perkataan pinjaman itu akhirnya menjadi sebahagian daripada kosa kata dalam variasi bahasa Inggeris mereka – beberapa contoh perkataan seperti ini dimasukkan dalam kemas kini OED suku tahun ini,” menurut kenyataan laman itu.
Antara perkataan yang dimasukkan termasuk “alamak”, iaitu satu seruan yang menggambarkan perasaan terkejut, kecewa, atau marah, yang menurut OED agak sukar untuk diterjemahkan secara langsung.
Frasa yang meluas penggunaannya, “tapau”, berasal daripada bahasa Kantonis dan merujuk kepada perbuatan membungkus atau membawa pulang makanan, turut dimasukkan.
Beberapa istilah berkaitan makanan juga dimasukkan, menggambarkan pengaruh masakan Melayu seperti “ketupat” (direkodkan pertama kali pada tahun 1886), yang merujuk kepada nasi yang dibungkus dalam anyaman daun palas berbentuk segi empat dan sering dihidangkan bersama sate atau dalam jamuan perayaan.
OED turut mengiktiraf perkataan seperti “mat rempit”, yang merujuk kepada “seorang lelaki (kebiasaannya muda) yang terlibat dalam perlumbaan motosikal haram di jalan raya dan sering melakukan aksi berbahaya”.
Satu lagi penambahan menarik ialah “terror”, yang dalam bahasa Inggeris Malaysia boleh membawa maksud “teruk, dahsyat” atau “hebat, mengagumkan”, bergantung pada konteks penggunaannya.
Perkataan lain dari Bahasa Inggeris Malaysia dan Singapura yang turut dimasukkan dalam kemas kini OED termasuk:
- fish head curry
- half-boiled egg
- kaya
- kaya toast
- nasi lemak
- otak-otak
- steamboat