Berita

PAC akan panggil KKR, LLM bincang isu sistem tol

Jawatankuasa ini bercadang untuk memulakan prosiding berhubung MLFF pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 22 Jan – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan prosiding berhubung Pengurusan Pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan Kementerian Kerja Raya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, persetujuan itu dicapai sebulat suara dalam perbincangan khas ahli-ahli PAC di Parlimen.

“Kementerian yang akan dipanggil dalam prosiding ini adalah KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selain mendengar pandangan daripada operator lebuh raya berhubung pelaksanaan MLFF ini.

“Jawatankuasa ini bercadang untuk memulakan prosiding berhubung MLFF pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati memaklumkan, PAC telah selesai mengadakan prosiding bagi semua tujuh isu yang dipilih daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022.

Menurut beliau, isu berkenaan termasuk Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi, Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS).

Begitu juga isu Syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd, Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar; Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara; dan Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

Jelas beliau, PAC berpandangan prosiding bagi tiga isu telah selesai sepenuhnya iaitu Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi, Syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd dan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara.8.

Kata beliau, manakala prosiding empat isu lain akan diteruskan dengan prosiding susulan memandangkan PAC berpendapat masih ada penjelasan yang perlu diberi kementerian berkaitan.

“Pada masa sama, PAC akan mengadakan lawatan kerja ke Sarawak dan Sabah untuk meninjau bangunan daif di sekolah bagi melengkapkan prosiding Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

“PAC komited untuk membentangkan semua laporan yang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas yang akan bermula pada 26 Februari 2024,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button