Jenayah

Padah gaduh di stadium, 7 lelaki didenda RM2,000 rosakkan kereta

Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjarakan selama dua bulan jika gagal membayar denda itu

PETALING JAYA 1 Dis – Tujuh lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan antara Selangor FC dengan Perak FC berlangsung pada Sabtu minggu lalu.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin mengenakan denda itu selepas tertuduh terbabit, Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27; Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21; dan Azizi Abu Hassan, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjarakan selama dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, semua lelaki itu didakwa sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang secara bersama mendatangkan kerosakan terhadap kereta jenis Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun sehingga membabitkan kerugian bernilai RM15,000, di parkir berkenaan pada jam 4.50 petang 25 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 149 KK yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kesemua tertuduh itu memohon hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung keluarga tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun, mencadangkan hukuman berat dengan mengambil kira kerugian akibat kerosakan.

Muhamad Ainol Syukri, Mohammad Hariz dan Azizi membuat rayuan itu melalui peguam, Ainul Farihah Azizi, manakala empat lagi tertuduh tiada diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, dua lelaki iaitu Muhamad Afiq Azman, 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Noor Khairun Nisa memohon supaya dua lelaki itu masing-masing dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam mewakili tertuduh, Ainul Farihah mencadangkan jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 23 lelaki disyaki terbabit pergaduhan di Stadium MBPJ sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dengan Perak FC.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dipetik berkata lima lelaki mengalami kecederaan, manakala sebuah kereta turut dirosakkan dalam insiden itu.

Satu klip video berdurasi 44 saat dan tiga gambar tular dalam media sosial memaparkan pergaduhan sekumpulan individu serta kenderaan yang rosak akibat insiden berlaku di Stadium MBPJ sebelum perlawanan bola sepak itu berlangsung. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button