Viral

Padah nak cantik, wanita maut 4 hari lepas suntik besarkan payudara di Skudai

Mangsa berumur 29 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi pada 2 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Niat asal seorang wanita untuk tegangkan kulit muka berakhir dengan tragedi apabila dia disahkan maut empat hari menjalani pembedahan membesarkan payu dara yang didakwa dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di, Johor, baru-baru ini.

Mangsa berumur 29 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi pada 2 Ogos lalu.

Suami mangsa dikenali sebagai Huang, 32, berkata, isterinya dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada pembedahan pembesaran payu dara asid hyaluronik.

Dakwanya, pada mulanya mangsa merancang menjalani pembedahan ‘menarik benang’ muka mikro untuk menjadikan kulitnya tegang, namun ‘pakar kecantikan’ itu memujuk isterinya untuk menjalani pembedahan membesarkan payu dara.

Katanya, selepas melakukan pembedahan itu, isterinya mengalami sakit dada, dan kakitangan pusat kecantikan itu dilaporkan enggan menerima bayaran ketika wanita berkenaan mahu membuat bayaran.

“Keesokannya (30 Julai), isteri saya masih tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia (isteri) pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari.

“Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan. Sekitar pukul 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa.

“Isteri segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Isteri dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas melaporkan bahawa dia tidak boleh berjalan dan meninggal dunia pada 7 pagi (hari sama),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata wanita berkenaan mengalami kesakitan berterusan selepas mendapatkan rawatan di pusat kecantikan itu sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.08 pagi.

Beliau berkata susulan itu suami mangsa tampil membuat laporan polis pada hari sama kira-kira 12.31 tengah hari.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon menerusi hantaran di laman Facebook hari ini memaklumkan beliau telah melawat keluarga mangsa bagi mendapatkan makluman dan memahami situasi sebenar kes melibatkan wanita dua anak itu.

Ling turut menasihati keluarga mangsa agar membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Katanya siasatan itu bagi memastikan pusat rawatan kecantikan yang dipercayai beroperasi di rumah itu mematuhi prosedur operasi standard dan mempunyai lesen profesional berkaitan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin membuat rawatan di pusat kecantikan perlu memastikan pusat berkenaan mempunyai pensijilan dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.- Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button