Sukan

Padam kenyataan taktikal rahsia HM atau disaman – Baddrol Bakhtiar

Baddrol nafi ada mengeluarkan kenyataan berkenaan taktikal rahsia HM.

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar menafikan mengeluarkan kenyataan di sebuah laman Facebook bahawa beliau mempunyai taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia.

Bekas pemain kebangsaan berusia 36 tahun itu mahu kenyataan di laman dikenali Harakatdaily HD dikeluarkan segera.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai fitnah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam laman ini.

“Sila padam kenyataan tersebut segera jika tidak tindakan undang-undang akan menyusul atas fitnah ini,” katanya melalui Facebook rasminya.

Baddrol yang juga bekas pemain Kedah dan Sabah berkata, semua pihak dinasihatkan agar menyiasat terlebih dahulu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat yang tersebar.

Terdahulu, laman Facebook berkenaan pada Selasa mendakwa Baddrol ada taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia.

Dakwanya, pasukan kebangsaan perlu menang dahulu sebelum rahsia tersebut boleh didedahkah.

Dalam status lain di laman Facebook sama juga turut memuatkan dakwaan Baddrol kecewa dengan persembahan Harimau Malaya pada pagi Selasa.

Dakwanya, bekas pemain itu didakwa berkata kalau yang main semua Melayu Islam, boleh menang. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button