Berita

PADU boleh banteras kemiskinan tegar – PM

Sistem PADU yang dilancarkan semalam bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran.

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam, diharap dapat membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata sistem PADU yang dilancarkan semalam bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran, sekali gus memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi berkesan.

“Selama ini kerajaan membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu rakyat miskin dan mereka yang memerlukan khususnya di desa dan pedalaman.

“Namun, semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan itu sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.

“Bahkan subsidi yang kini berjumlah hampir RM80 bilion yang sepatutnya hanya dinikmati orang susah, turut dinikmati 3.5 juta warga asing dan golongan maha kaya,” katanya menerusi catatan Facebook, hari ini.

Sistem PADU adalah pangkalan data sosioekonomi yang menggabungkan maklumat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bertujuan mengelakkan keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.

Ia dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Anwar menjelaskan, tidak mungkin masih wujud miskin tegar dalam negara ini sekiranya perbelanjaan berjumlah RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion itu semuanya sampai kepada golongan miskin dan orang susah.

“Kerana itu saya tidak sanggup untuk membiarkan ketirisan dana kerajaan ini berterusan atau membenarkan hak orang susah dirampas golongan kaya dan berkemampuan.

“Justeru, ia dilancarkan bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran ini bagi memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi yang berkesan,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Anwar berkata, beliau mahu seluruh jentera kerajaan bekerjasama untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2024.

Beliau mengulangi ikrar kerajaan pada 11 September lalu ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengakui sehingga 15 Ogos lalu, kerajaan ‘masih bergelut untuk mengeluarkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada belenggu kemiskinan’.

Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebelum ini berkata, PADU akan meningkatkan keupayaan kerajaan untuk mengukur dengan tepat status sosio-ekonomi penduduk dan mengurangkan jurang yang dikaitkan dengan pendapatan boleh guna bersih.

Untuk rekod, pendaftaran PADU mula dibuka semalam sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai membuat kemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berusia 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU menerusi laman sesawang https://padu.gov.my/ — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button