Berita

Pakar dedah kenapa gaji di Malaysia masih rendah

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali memberi penjelasan berkenaan melalui laman Facebooknya

KUALA LUMPUR 11 Dis – Pasaran buruh di Malaysia didapati tidak memberi nilai dan ganjaran sewajarnya kepada produktiviti pekerja yang menjadi punca gaji diterima adalah rendah, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan dapatan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran semakin meningkat daripada 1.17 juta pada 2016 kepada 2.02 juta pekerja tahun lalu, sekali gus menyaksikan kumpulan terbabit bekerja tetapi tidak mendapat gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka.

“Kertas putih Dasar Gaji Progresif juga melaporkan pada 2022, hanya 83,070 pekerjaan berkemahiran (48,600 jawatan kosong dan 34,470 pengwujudan pekerjaan baharu) yang wujud untuk diisi oleh 282,038 graduan yang dihasilkan. Hampir 200,000 lebih rendah daripada bilangan graduan yang dihasilkan. Ekonomi kita tidak mencipta kerja yang memerlukan kemahiran atau produktiviti yang mencukupi.

“Benar, kita ada ruang untuk meningkatkan lagi produktiviti graduan yang dihasilkan. Persoalannya, adakah dengan kemahiran dan produktiviti yang lebih tinggi hasil daripada Dasar Gaji Progresif menyaksikan majikan bersedia membayar mereka gaji yang lebih tinggi? Atau kerajaan yang bakal menanggung kenaikan ini? Sampai bila? Patutkah dana awam digunakan sebagai subsidi untuk majikan membayar gaji pekerja? Ekonomi tidak berada dalam krisis seperti era pandemik COVID-19,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Noor Azlan berkata, aktiviti ekonomi negara hari ini tidak mencipta pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran.

Katanya, persoalan yang timbul sama ada aktiviti ekonomi negara masih pada takuk lama dengan permasalahan struktur perlu ditangani, selain kualiti majikan.

“Saya berpandangan bahawa di samping projek rintis Dasar Gaji Progresif yang akan dilaksanakan, Kementerian Ekonomi dan semua institusi awam yang berkaitan serta semua kepakaran terus menganalisis dan mengadakan perbincangan yang rapi, apakah punca gaji pekerja yang rendah. Apakah langkah lain yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah gaji rendah ini.

“Apa pun, terima kasih kepada Menteri, Rafizi Ramli dan kepemimpinan Kementerian Ekonomi yang mengangkat perkara yang pokok dalam pasaran buruh ini untuk perbincangan kita. Reformasi pasaran buruh sememangnya amat diperlukan,” katanya.

Secara dasarnya, beliau bersetuju kerajaan melaksanakan reformasi pasaran buruh, tetapi kita perlu laksanakan secara berhati-hati dalam menentukan tatacaranya agar ia berkesan menangani punca kepada masalah yang menimbulkan permasalahan atau bebanan baharu.

“Mesti difahami apa permasalahan yang dihadapi, puncanya dan perlu sejajar dengan dasar makro yang lain sebelum ia diterima sebagai satu dasar baharu.

“Saya meneliti Bab 1 Kertas Putih Dasar Gaji Progresif yang menjelaskan status penggajian dan pasaran buruh di negara kita. Fakta ini seharusnya menjuruskan kepada Dasar Gaji Progresif sebagai penyelesaian kepada gaji yang rendah.

“Hati-hati dalam membandingkan penengah gaji bulanan pekerja dengan penengah pendapatan isi rumah,” katanya.

Noor Azlan berkata, sememangnya benar bahawa seramai lebih tiga juta pekerja menerima gaji kurang daripada penengah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589, namun dua angka ekonomi itu tidak boleh dibanding secara langsung.

“PGK merujuk kepada ‘pendapatan isi rumah’, lebih luas takrifannya (merangkumi pendapatan daripada gaji, daripada bekerja sendiri, daripada harta dan pelaburan dan juga daripada pindahan yang diterima) serta merujuk kepada sebuah isi rumah (3.8 orang) bukannya seorang pekerja.

“Oleh sebab itu penengah pendapatan isi rumah 2022 ialah RM6,338, sekitar 2.6 kali lebih besar darioada penengah gaji bulanan RM2,424. Pendapatan melebihi PGK belum menjamin keselesaan, cuma tidak miskin. Gaji adalah subset kepada pendapatan.

“Dengan gaji penengah 2022 sebanyak RM2,424, sangat jelas herotan berlaku kepada kumpulan berpendapatan sederhana-rendah ke bawah atau separa mahir dan tidak mahir. Berbanding dengan kumpulan mahir, gaji mereka naik dengan kadar yang perlahan, seolah malar. Fokus Dasar Gaji Progresif mesti kepada kumpulan ini,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button