KUALA LUMPUR: Seorang perunding kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan penyelewengan harta secara tidak jujur, melibatkan kira-kira RM279,000, dua tahun lalu.
Amir Ashraf Abdullah, 50, didakwa telah menyeleweng kad ATM RHB Bank milik bekas gurunya, seorang wanita berusia 66 tahun, dengan menggunakannya untuk memindahkan RM161,000 sebagai sebahagian daripada urusan pinjaman perumahan daripada akaun wanita itu ke dalam akaun syarikatnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar di sini pada Februari 2022.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa, melibatkan RM118,147 milik menantu kepada guru tersebut, di sebuah hotel di Jalan Dang Wangi di sini antara 29 Jun hingga 30 September 2022.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan Amir, yang diwakili peguam Syawal Razak, diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 November untuk sebutan kes.