Pakej 5G Rahmah, insentif pascabayar Rahmah penjawat awam dilancar hari ini
Pakej 5G Rahmah ditawarkan bermula 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan, terbuka untuk seluruh rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan melancarkan Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam hari ini yang akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
Beliau dijangka akan memberikan perincian mengenai pakej dan insentif berkenaan yang telah diumumkan pada 7 Ogos lalu sebagai antara inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk merapatkan jurang digital serta memastikan rakyat mendapat Internet berkualiti pada harga berpatutan.
Fahmi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Pakej 5G RAHMAH ditawarkan bermula 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan, terbuka untuk seluruh rakyat Malaysia.
Pakej 5G RAHMAH menawarkan pakej telefon pintar 5G pelan data dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan.
Sebanyak 100,000 pelanggan terawal daripada golongan B40 pula akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120.
Sementara itu, menerusi Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam yang diperkenalkan sebagai menghargai kumpulan berkenaan, penjawat awam akan menikmati penjimatan pakej pascabayar sebanyak RM120 setahun, iaitu rebat RM10 sebulan. — Bernama