Pakej Rahmah Haji tawar tunai haji bawah RM50,000 seorang
Sejumlah 23 PJH yang ditemuinya, menyambut baik Pakej Rahmah Haji.

KUALA LUMPUR 25 Mac – Selepas makanan dan perkhidmatan, kini Pakej Rahmah Haji pula menanti bakal jemaah yang menerima tawaran mengerjakan ibadah itu tahun ini yang ditawarkan agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada harga di bawah RM50,000 seorang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sejumlah 23 PJH yang ditemuinya, menyambut baik Pakej Rahmah Haji itu, malah ada yang sudah menawarkan harga lebih rendah daripada RM50,000.
“Ada PJH yang menawarkan pakej haji pada harga serendah RM43,000 dan RM45,000 bagi setiap jemaah.
“Alhamdulillah, dengan tawaran RM50,000 ini, kita harap akan lebih ramai mengambil tawaran yang disediakan,” katanya selepas melancarkan Karnival PJH di sini, hari ini.
Mengulas penganjuran Karnival PJH itu, Mohd Na’im berkata, karnival julung kali itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada bakal jemaah haji mengenali dengan rapat 23 PJH yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH).
“Seperti sedia maklum banyak berita yang menyebut tentang bakal jemaah haji yang ditipu oleh agen atau agensi yang tidak bertanggungjawab.
“Bagi menjamin kualiti perkhidmatan, setiap lantikan pengelola jemaah haji sudah melalui proses penilaian dan saringan serta standard tertentu yang perlu diikuti, barulah lesen diberikan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat yang berhasrat menunaikan ibadah haji tidak lagi perlu bimbang atau rasa ragu-ragu berikutan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik.
Ditanya sama ada jumlah PJH akan ditambah pada masa depan, Mohd Na’im berkata, jumlah itu boleh ditambah selagi ia memenuhi syarat ditetapkan TH selain tidak berkompromi dari segi kualiti.
“Saya tidak nampak masalahnya, jadi yang penting mereka (PJH) memenuhi syarat ditetapkan. Lebih banyak lebih bagus kerana apa yang paling penting kita pastikan bahawa pengelola PJH ini bertanggungjawab.
“Kita tidak mahu isu dimana mereka (bakal jemaah) ditipu dan sebagainya. Kita mahu minimumkan isu itu yang akan menghalang kemungkinan ia berlaku,” katanya.
Karnival Pengelola Jemaah Haji dianjurkan TH dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) selama dua hari bertempat di Movenpick Hotel & Covention Centre, di sini.
Pelbagai aktiviti dan program bermanfaat dirancang termasuk simulasi haji, aktiviti praktikal ibadat haji dan program bual bicara selain turut menyasar 5,000 pengunjung.