Pancaragam tentera darat buka tirai perbarisan, perarakan Hari Kebangsaan 2024
Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) yang diketuai Kapten Mohd Rizuan Ramzi mendahului perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini.
Dimulakan dengan perarakan Kontinjen Kenegaraan seawal jam 8.16 pagi, ia merangkumi pembawa Jalur Gemilang besar berukuran 80×40 kaki oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia diikuti pembawa bendera-bendera negeri oleh 333 peserta.
Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diselaraskan Kementerian Perpaduan Negara pula dilihat menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing.
Kontinjen Kesejahteraan ialah kontinjen terbesar melibatkan 5,091 individu daripada pelbagai agensi dan kementerian antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Kontinjen Kesejahteraan merangkumi perarakan kereta berhias, pancaragam oleh Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) serta pameran kenderaan operasi pasukan khas pertahanan awam termasuk ‘special rescue vehicle’, communnication rescue vehicle dan ‘rapid rescue vehicle.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 dijayakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan. — BERNAMA