Berita

Panik lihat anggota imigresen, peniaga warga asing terjun Sungai Melaka

Lelaki itu ditahan selepas berenang menyeberangi sungai

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Seorang warga asing terjun ke sungai berhadapan Kampung Morten di Melaka kerana panik melihat anggota imigresen memeriksa premis penjaja makanan di sekitar pesisir Sungai Melaka.

Tetapi, lelaki Indonesia berusia 20-an itu ditahan penguat kuasa imigresen selepas berenang menyeberangi sungai.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, pihaknya menyerbu beberapa gerai menjual makanan di tepian Sungai Melaka dalam Op Selera bermula 2 petang hingga 11 malam kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan pekerja asing menjual makanan di sekitar Sungai Melaka dan operasi di sekitar Bandaraya Melaka itu bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Sebanyak 10 premis diperiksa, termasuk sebuah kelab golf, pusat cuci kenderaan, kebun sayur dan beberapa penempatan warga asing.

“Seramai 70 warga asing diperiksa dan kita menangkap 36 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita Myanmar, 12 lelaki dan empat wanita Indonesia, lima lelaki Sri Lanka dan tujuh lelaki Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing ditahan itu berusia 25 hingga 40 tahun kerana disyaki bekerja tanpa permit kerja sah dan melanggar syarat permit.

Antara kesalahan dikesan adalah Seksyen 6( 1)( c ) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, 11 saman turut dikeluarkan kepada majikan untuk hadir membantu siasatan.

Anirwan berkata, operasi sedemikian akan diteruskan di lokasi tumpuan warga asing. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button