Hiburan

Pantun Tom Yam, ajak ‘healing’ satukan jiwa Coldplay, peminat

Konsert Coldplay pada semalam merupakan aksi julung kali mereka di Malaysia.

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Walaupun mendapat beberapa siri tentangan sebelum ini, konsert julung kali yang diadakan band terkemuka, Coldplay akhirnya berlangsung dengan tenang dan penuh meriah.

Seperti siri konsert sebelum ini, tidak sah jika persembahan Coldplay tidak dilengkapi dengan persembahan yang cukup interaktif bersama peminat setia mereka.

Malah, vokalis kumpulan itu, Chris Martin juga dilihat sedaya upaya mendekatkan jiwanya dengan peminat tempatan menerusi ayat ‘healing’ dan pantun.

Menerusi konsert yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada semalam, Martin menuturkan ayat ‘jom healing bersama’ yang mengundang jeritan penuh semangat penonton.

Tidak sekadar itu, Martin menyelam lagi ke dalam jiwa penonton menerusi pantun yang sehingga kini, menjadi bualan dalam kalangan penonton dan peminat Coldplay.

“Pergi ke kedai membeli sayur,

“Masak Tomyam bersama bonda,

“Coldplay sekarang di Kuala Lumpur,

‘Payung lagu favourite anda,”

Bait-bait pantun ini menjadi kenangan manis penonton yang menganggap bahawa Coldplay bukan sahaja datang untuk menghibur, tetapi mahu menjadi sejiwa bersama peminat tempatan.

Untuk rekod, konsert di Malaysia adalah siri jelajah terakhir buat Coldplay sebelum mereka kembali semula pada tahun depan di Filipina dan Singapura. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button