Politik

Parti tidak siuman, sedang ghairah pecat orang – Shahidan

KUALA LUMPUR, Jan 28 – – Lebih awal menerima nasib sama seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan UMNO sebagai parti yang ‘tidak siuman’ kerana sedang ‘ghairah’ memecat dan menggantung ahlinya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis turut meminta ahli UMNO yang sudah dipecat agar bersabar kerana mereka akan mendapat pembelaan tidak lama lagi.

“Sebuah parti tidak siuman sedang ghairah pecat orang. Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan,” tulisnya ringkas dalam satu hantaran di akaun Facebooknya.

Dalam hantaran terbarunya, Shahidan turut yakin kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang seperti yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila UMNO telah ditolak di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka.

“Parti tersebut ditolak di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka. Menunggu hari PRN, InsyaAllah PN,” tulisnya.

November lalu, Shahidan dipecat daripada UMNO selepas didapati telah mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk PRU15.

Kemudian, beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan berjaya meraih kemenangan besar dengan memperoleh 31,458 undi, sekali gus mengatasi dua pesaingnya bagi kerusi Parlimen Arau.

Selain Shahidan, tiga lagi ahli UMNO turut dipecat pada PRU15 iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar; Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan

Back to top button