PAS disaran tinggal PN, perkasa Islam bersama kerajaan perpaduan
Perkara itu dicadangkan kepada PAS oleh Puad Zarkashi.
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Ahli Majlis Kerja Tertingi UMNO, Puad Zarkashi mencadangkan PAS meninggalkan Perikatan Nasional (PN) untuk bersama kerajaan perpaduan bagi memperkasa Islam.
Puad berkata, PAS tidak wajar membuang masa “menebuk atap” dan menghukum orang lain dengan mengeluarkan pelbagai fatwa memecahbelahkan orang Melayu.
“PAS sepatutnya ‘moving forward’. Tinggalkan PN dan sertai kerajaan perpaduan. Berkongsi kuasa dan jadi pengimbang dalam kerajaan.
“Lebih baik duduk dalam kerajaan menstabilkan politik, membangun negara, menjayakan agenda Islam, Melayu, dan kesaksamaan rakyat,” katanya di Facebook.
Puad membalas kenyataan bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa yang kini menyertai PAS bahawa parti orang Melayu itu sudah tidak lagi relevan kerana rakyat masih mengekalkan sentimen ‘No Anwar, No DAP,’ dan kini ‘No UMNO’ susulan keputusan PRN bulan lalu.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengajak ahli UMNO menyertai PAS jika mahu meneruskan perjuangan agenda Melayu.
“Perjuangan apa? Apa pencapaian Annuar bila sudah masuk PAS?,” kata Puad.
Selepas PRU15, UMNO menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim manakala PAS yang bersama Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan dibuat Yang di-Pertuan Agong.
Penubuhan kerajaan perpaduan dicadangkan susulan situasi parlimen tergantung apabila tiada gabungan mendapat majoriti mudah untuk membentuk pentadbiran selepas pilihan raya umum November lalu. — Xklusif