Berita

PAS kecam serangan ke atas rumah Koo Ham

PAS menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan dan menjalankan siasatan pantas

KUALA LUMPUR 10 Jan – PAS memandang serius dan mengutuk keras serangan terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham awal pagi tadi yang mengakibatkan kerosakan harta benda miliknya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dalam masa yang sama PAS menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan dan menjalankan siasatan pantas bagi mengenal pasti dan menangkap pihak yang terbabit.

Katanya, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.

“PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kediaman Koo Ham di Ayer Tawar diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’ awal pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan kebakaran yang turut merosakkan tiga kenderaannya.

Menerusi laman Facebook, beliau berkata, kebakaran dapat dibendung dan tiada kecederaan membabitkan beliau dan ahli keluarganya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-pandangan dengan segera, adil dan bijaksana.

Selain itu, katanya semua pihak juga perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa apa pandangan, pendirian atau cadangan yang boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar.

“Dalam pada itu, PAS juga berharap Kom Ham dan keluarga terus bertenang dan tidak terlalu terkesan dengan insiden itu atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara kita,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button