Pas lakukan jadi halal, orang lain jadi haram
Khairuddin mengingatkan bahawa parti itu pernah mengkritik DAP yang meletakkan syarat sama ketika mahu bekerjasama dengan Pas.

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Pas perlu ikhlas untuk bekerjasama dengan UMNO tanpa meletakkan sebarang syarat.
Ahli Majlis Ulama UMNO Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan jemputan seorang pemimpin parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO yang seolah-olah mahu memecahbelahkan UMNO.
Ini selepas pemimpin terbabit meletakkan syarat bahawa kerjasama itu tidak melibatkan pemimpin UMNO yang rapat dengan DAP.
“Adakah mereka mahu bermain dengan agenda pecah perintah di kalangan pemimpin UMNO sebagaimana yang dilakukan pada akhir-akhir berkerajaan bersama di peringkat Persekutuan sebelum ini?
“Syarat kerjasama politik hendaklah dengan niat ikhlas menyatukan umat dan bekerjasama atas dasar kebajikan. Jangan dengan niat terselindung memecahkan parti rakan kerjasama,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.
Khairuddin mengingatkan bahawa parti itu pernah mengkritik DAP yang meletakkan syarat sama ketika mahu bekerjasama dengan mereka.
Parti itu juga mengkritik DAP kerana mahu meneruskan kerjasama dengan parti itu kecuali dengan Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ketika itu pemimpin mereka bermatian mengecam DAP. Nampaknya hari ini mereka pula membuat perkara yang sama.
“Tapi biasalah sesuatu yang haram bagi orang lain akan jadi halal jika Pas melakukannya,” kata Khairuddin.
Semalam Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO sekali lagi dengan syarat tidak melibatkan pemimpin parti yang berpakat dengan DAP.
Tuan Ibrahim berkata, mereka percaya sebahagian besar ahli UMNO masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) yang diwujudkan oleh kedua-dua parti pada 2019, selepas Barisan Nasional gagal mempertahankan Putrajaya pada PRU14.
Beliau memberi reaksi terhadap kenyataan bekas pemimpin UMNO Tan Sri Tajuddin Abdul Rahman yang mahu kedua-dua parti menghidupkan semula MN demi memperjuangkan agenda orang Melayu.
Pada 2015, pemimpin DAP Lim Guan Eng berkata, parti iu hanya memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi tidak dengan Pas.
Dewan Ulama Pas dalam Muktamar Tahunan ke-61 menyifatkan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi namun mahu kekal meneruskan kerjasama dengan Pas dianggap penghinaan terhadap Presidennya. — Xklusif