Politik

PAS letak MB Terengganu pertahan kerusi Parlimen Kemaman

Pencalonan itu diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR 17 Nov. – PAS mencalonkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

Ia diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, Terengganu pada malam tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang berjaya mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua.

Ini adalah penampilan pertama Naib Presiden PAS di kerusi parlimen bagi menentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK, 2 Disember depan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu itu memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang mendapat 3,641undi dengan majoriti 17,286 undi.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Pada PRU15, Che Alias Hamid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada PRU14 selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini. — BH

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button