PAS seru anak perantau pulang mengundi di Kelantan
Perkara itu diingatkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

KOTA BHARU 10 Ogos – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menggesa rakyat negeri ini yang berada di perantauan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu ini bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus kekal.
Beliau berkata, mengundi adalah satu tanggungjawab seluruh rakyat yang layak bagi memastikan kerajaan yang adil dan berhemah mengikut landasan Islam sebenar terus diwujudkan.
“Insya-Allah dengan sokongan anak perantau, ia akan memberi kekuatan kepada petugas untuk terus gigih mengekalkan legasi pemerintahan ulama di Kelantan.

“Dalam situasi politik negara yang tidak seimbang sekarang, rakyat harus tampil untuk memastikan amanah pemerintahan kekal dipimpin oleh kerajaan yang bersih, stabil dan adil serta bertanggungjawab pada pilihan raya kali ini.
“Pulanglah dengan nawaitu yang ikhlas, niat murni demi Islam dan Insya-Allah perjuangan kita diberkati serta mendapat reda Allah dunia akhirat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub merayu pengundi negeri itu termasuk perantau memberi peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).
“Buatlah keputusan bijak, lihat nasib keluarga kita di rumah dan berilah peluang kepada kami,” katanya. – Xklusif