Politik

PAS tak sama dengan UMNO – Afnan

Pas sebenarnya mempertandingkan semua jawatan tertinggi terbabit mengikut prosedur ditetapkan

SHAH ALAM 22 Okt – Situasi Pas tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi pada muktamar kali ini adalah berbeza dengan Umno yang tiba-tiba menyekat pertandingan dua jawatan utama parti berkenaan.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata Pas sebenarnya mempertandingkan semua jawatan tertinggi terbabit mengikut prosedur ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya perwakilan dan pimpinan kawasan mencalonkan penyandang jawatan masing-masing termasuk bagi jawatan presiden.

“Mereka (perwakilan) mencalonkan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden terdiri daripada orang yang sama (penyandang).

“Cuma bagi jawatan Naib Presiden, ada tambahan seorang lagi calon, namun calon keempat itu (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) menarik diri,” katanya pada Ceramah Perdana sempena Muktamar Tahunan Pas ke 69 di perkarangan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, apabila semua yang dicalonkan adalah individu sama dan ada yang menarik diri, maka parti membuat keputusan untuk tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi berkenaan.

“Ada yang sebut (situasi) Pas sama macam Umno… tidak. Kita buka pertandingan tapi cuma ada satu pencalonan sahaja (jawatan presiden).

“Umno pula buka pencalonan, (ada) orang nak calonkan presiden baharu sebab presiden sekarang jadi liabiliti, banyak buat kesalahan, malu orang Umno,” katanya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum ini berkata lima jawatan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Beliau dipetik berkata, ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata pemilihan tahun ini hanya membabitkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membabitkan 18 ahli jawatankuasa serta jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button