Politik

PAS yakin akan kembali teraju kerajaan persekutuan

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin parti itu akan kembali menerajui kerajaan persekutuan tidak lama lagi dan harus bersedia untuk itu.

Beliau berkata, keyakinan itu turut dinyatakan pemimpin luar negara yang menemuinya setelah mereka percaya masa depan Malaysia terletak di tangan Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita punyai peluang menerajui (kerajaan) persekutuan dalam tempoh tidak lama lagi. Pas pasti bersama PN akan menerajui kerajaan pada masa hadapan.

“Saya dikunjungi ramai pimpinan, wakil kedutaan asing pimpinan negara luar yang membuat kesimpulan masa depan negara terletak pada PN dan Pas.

“Kita harus bersedia menerajui kerajaan, Pemuda mesti melengkapkan hakikat tersebut dan bersama pimpinan menerajui kerajaan,” katanya menurut Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda Pas kali ke-64 di Shah Alam, malam tadi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim secara berseloroh berkata ketika parti itu menjadi kerajaan mereka hanya memenangi 18 kerusi Parlimen, sebaliknya kembali sebagai pembangkang selepas menang 43 kerusi dan ia “tanda kiamat semakin hampir”.

“(PRU15) Kita mencapai kemenangan, walaupun tidak memerintah negara. Waktu kita (menang) 18 kerusi (Parlimen) kita jadi kerajaan, waktu kita berada di kerusi yang besar (menang lebih banyak kerusi) kita jadi pembangkang.

“Ini antara tanda hampirnya kiamat,” katanya disambut gelak ketawa perwakilan Pemuda.

Pas membentuk kerajaan bersama Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama 33 bulan bermula 2020 dan diberikan peranan tiga jawatan menteri dan lima timbalan menteri. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button