Berita

Pasangan kekasih ditahan beri anak dadah

Pasangan yang berusia 34 dan 31 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam

ISKANDAR PUTERI 22 Dis – Sepasang kekasih ditahan polis, selepas didapati memberikan dadah kepada anak kandung mereka, seorang bayi lelaki yang baharu berusia 1 tahun 4 bulan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan yang berusia 34 dan 31 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

Menurut beliau, kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan kini ditahan kerana gagal membayar jaminan sebanyak RM6,000 yang ditetapkan.

“Polis menerima laporan daripada seorang doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap bayi tersebut, apabila mendapati bayi itu positif dadah pada 12 Disember lalu.

“Sehubungan itu, ibu bayi berkenaan telah ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala pasangannya ditahan di Jalan Salleh, di bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Rahmat, pemeriksaan ujian air kencing yang dibuat ke atas pasangan itu juga mendapati kedua-duanya turut positif penyalahgunaan dadah.

“Kes ini akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Back to top button