Berita

Pasangan tunang ada pelbagai rekod jenayah ditahan langgar lari polis hingga parah

Proton Iriz yang digunakan oleh kedua-dua suspek pada hari kejadian itu turut dirampas polis

IPOH 6 Feb – Pasangan tunang yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari terhadap anggota polis di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, semalam, sudah diberkas.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 34 tahun itu ditahan kurang daripada 24 jam selepas insiden dilaporkan berlaku.

Katanya, kereta Proton Iriz yang digunakan oleh kedua-dua suspek pada hari kejadian itu turut dirampas polis.

“Bertindak atas maklumat, Polis Daerah Ipoh berjaya menangkap dua suspek berkenaan dan merampas kereta yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah THC selain semakan mendapati lelaki itu memiliki 17 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan narkotik, sementara suspek perempuan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.

Katanya, dua suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, esok untuk permohonan reman.

Terdahulu media melaporkan kejadian langgar lari yang berlaku 7.30 malam itu mengakibatkan anggota polis berusia 34 tahun parah termasuk mengalami patah rusuk dan bahu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button